+603-5511 1800 +603-5510 1800 [email protected]
 |
        
UTAMA / MENGENAI KAMI / PENUBUHAN IWRIMS

PENUBUHAN IWRIMS

Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) adalah agensi yang bertanggungjawab terhadap pengurusan dan pembangunan mampan serta pemuliharaan sumber air di dalam Negeri Selangor selaras dengan fungsi Lembaga menurut Seksyen 6(1) dan tanggungjawab terhadap sumber air di bawah Seksyen 40(1) Enakmen Lembaga Urus Air Selangor 1999. Pemantauan kualiti dan kuantiti sumber air secara berterusan melalui instrumen teknologi terkini seperti stesen telemetri hidrologi yang dibangunkan di sekitar empangan dan lembangan sungai yang kritikal adalah sebagai mekanisme amaran awal bagi mengesan kejadian pencemaran sumber air dan alam sekitar seperti insiden tumpahan minyak, pelepasan efluen tidak dibenarkan, bencana industri dan pelupusan haram seperti pelepasan leachate.

LUAS telah membangunkan sistem IWRIMS sejak tahun 2012 secara berfasa untuk menguruskan data-data pemantauan hidrologi di Negeri Selangor termasuk pemantauan paras air dan kapasiti empangan, hujan, paras air sungai, kadar alir sungai, kadar abstraksi muka sauk, kadar pengepaman air kolam (OPAK) dan integrasi/perkongsian data stesen kuantiti dan kualiti air dengan agensi yang berkepentingan. Data-data tersebut boleh dilihat secara online dan real-time dengan menggunakan aplikasi SCADA (Supervisory Control and Data Acquisition) yang merupakan satu disiplin kejuruteraan berteknologi tinggi merangkumi instrumentasi, komunikasi, multimedia berkomputer.

Aplikasi IWRIMS juga telah diperluaskan dengan pembangunan Apps IWRIMS untuk telefon pintar pada tahun 2019 yang kini boleh dimuat turun melalui Play Store dan Apps Store secara percuma. Inisiatif yang telah diperkenalkan oleh LUAS ini merupakan sebahagian daripada komponen penting di dalam pembangunan Smart Digital System. Usaha ini bagi memenuhi misi penerapan aplikasi Internet of Things (IoTs) dalam SMART Selangor Water Managements di dalam pelaksanaan pemantauan sumber air secara online.

Data-data hidrologi di dalam sistem IWRIMS ini amat penting kerana akan digunakan sebagai data input di dalam LUAS Intelligent Support System (LiSS) dalam menentukan jangkaan pelepasan air empangan untuk tempoh 36 hingga 120 jam ke hadapan bagi Sungai Selangor dan Sungai Langat.